February 06, 2009

Utusan Malaysia newspaper dated 25th Sept 2008

KELUARGA
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0925&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_04.htm

ARKIB : 25/09/2008

Rozana pakar jahitan smoking

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

SEMUANYA bermula semasa mengikuti suami bertugas di Afrika Selatan pada tahun 2000 lalu.

Sebagai cara mengisi waktu lapang, sementelah pula masih tidak mempunyai anak, beliau dan sekumpulan wanita Malaysia yang menetap di sana telah mengikuti kelas kraf bagi menambah pengetahuan.

Tidak disangka, dengan menghadiri kelas itu ia menjadi titik tolak kepada penglibatannya dalam menghasilkan pakaian menggunakan teknik smoking.

Pemilik Pretty Babes Collection, Rozana Garib, 41, berkata, sebelum ini menjahit bukanlah minatnya, bahkan tidak pandai langsung dengan kerja tangan itu.

Namun, ajakan isteri-isteri rakyat Malaysia yang tinggal di Cape Town, Afrika Selatan, untuk mengisi masa lapang telah membuka pintu hatinya menyertai kelas kraf tersebut.

"Kelas itu bukan sahaja mengajar jahitan smoking, tetapi hiasan lain seperti kraf lilin, sabun, lukisan fabrik, decoupage dan lain-lain.

"Bagaimanapun apabila tiba masa menjahit smoking, saya yang paling lambat menyiapkannya kerana langsung tidak mahir. Saya terpaksa mengambil 10 kelas untuk betul-betul pandai.

"Rupa-rupanya ada hikmah, kini saya boleh dikatakan mahir dalam bidang ini sehingga mampu mengkomersialkan baju-baju gaun kanak-kanak berhias jahitan smoking,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Rozana, pada mulanya beliau hanya membuat pakaian untuk anak-anak saudara kerana pada waktu itu belum dikurniakan anak.

"Berpuluh-puluh helai saya membuatnya sehingga suami pun bertanya nak buat apa banyak-banyak ini. Dia mencadangkan supaya saya menjualkannya.

"Dari situ, bermulalah penglibatan saya dalam bidang perniagaan ini. Saya memasarkan baju-baju ini di Mont Kiara, Damansara, setiap hari Ahad, bagaimanapun, kini terpaksa dihentikan buat sementara dan hanya menjalankannya di rumah sahaja.

"Walaupun dipasarkan dari rumah sama ada melalui Internet dan rakan-rakan, permintaannya tetap menggalakkan. Terutamanya semasa bulan puasa ini, ramai yang menempah untuk anak-anak perempuan mereka,'' jelas bekas graduan perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini.

Ditanya kenapa memilih membuat gaun kanak-kanak, beliau memberitahu, lebih teruja dan terpesona melihat gaun kembang yang cantik berhias jahitan smoking pada bahagian dada yang dipakai kanak-kanak perempuan.

"Jahitan smoking ini memberi penampilan manis kepada kanak-kanak perempuan. Lebih kreatif dan halus jahitan smoking, lebih cantik pakaian itu ditambah pula dengan penggunaan kain yang bermutu tinggi.

"Kebanyakan fabrik yang digunakan untuk gaun ini ialah kapas, sifon, satin, organza dan polister.

"Saya suka mempelbagaikan jenis fabrik untuk memberi kelainan,'' ujar ibu kepada Ameera Azlan, 4.

Wanita yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini, mengakui membuat jahitan smoking bukan mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan ketelitian.

"Dalam masa sehari, saya hanya boleh menyiapkan dua helai pakaian. Ini kerana untuk membuatnya perlu teliti dan kemas.

Apabila pakaian sudah siap, barulah boleh dihias dengan sulam bunga kerana jika dibuat terlebih dahulu akan menyukarkan tukang jahit untuk menarik kain,'' katanya.

Berbual dengan Rozana, nyata beliau cukup tertarik dengan rekaan pakaian untuk kanak-kanak berbanding orang dewasa.

Katanya, beliau akan berasa tenang dan lebih relaks menyiapkan pakaian kanak-kanak walaupun ramai mendakwa pekerjaan tersebut lebih rumit dan memenatkan.

"Ada juga yang saya dengar, menyiapkan pakaian golongan dewasa lebih mudah berbanding dengan pakaian kanak-kanak.

"Namun, saya tetap memilih pakaian kanak-kanak kerana bila kita melakukan sesuatu yang menjadi minat, penghayatannya lebih. Saya seronok malah sanggup bersengkang mata menyiapkan sehelai pakaian kanak-kanak,'' katanya.

Koleksi Pretty Babes mempunyai tiga saiz iaitu pertama bagi yang berumur tiga bulan hingga setahun, tiga hingga empat tahun dan enam hingga sembilan tahun.

Beliau memberi jaminan, mutu jahitan serta hiasan smoking sememangnya berkualiti kerana setiap baju yang dibuatnya seolah-olah membuat baju anak sendiri, kemas dan cantik.

Harga juga amat berpatutan mengikut saiz,'' katanya.

Rozana turut menerima pelajar yang ingin mempelajari jahitan smoking ini.

Bagi yang berminat, boleh hubungi Rozana di talian 012-3168486.

0 Message(s):